
POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap dua skim disyaki pelaburan tidak wujud yang dikenali sebagai Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini sebanyak 38 kertas siasatan dibuka membabitkan skim pelaburan Al Kahtifah Trust dengan kerugian sebanyak RM468,870.
Selain itu, sebanyak 28 kertas siasatan lagi dibuka bagi skim pelaburan Madinah Mining melibatkan kerugian berjumlah RM343,282.
Ujarnya, siasatan mendapati kedua-dua skim pelaburan ini dikesan aktif sejak hujung 2021 dengan menggunakan platform media sosial untuk mencari pelabur.
"Pakej yang ditawarkan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.
"Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Kamarudin, siasatan terperinci berhubung skim pelaburan berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai diingatkan supaya memberikan perhatian dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
"Orang juga dinasihatkan mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti 'semak mule' serta senarai amaran BNM, Suruhanjaya Sekuriti (EC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," ujarnya.
Pada Rabu, media tempatan melaporkan dua selebriti mendakwa nama mereka digunakan sindiket pelaburan tidak wujud dan sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram