Operasi pelancongan Pulau Redang, Lang Tengah tidak terjejas


  • Massa
  • Rabu, 02 Mac 2022

INDUSTRI pelancongan di pulau peranginan di Terengganu ditutup kepada pengunjung sejak Monsun Timur Laut November lepas, dan ia kembali dibuka secara berperingkat sejak Selasa.  — Facebook

FENOMENA ombak besar dan angin kencang di Terengganu baru-baru ini tidak menjejaskan operasi 13 resort dan chalet di Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

Beberapa pengusaha resort dan chalet yang dihubungi Bernama memaklumkan operasi mereka telah bermula sejak Selasa, mengikut jadual asal.

Pengurus Redang Pelangi Resort, Ee Lin Foo berkata, ramai pengunjung yang bertanyakan situasi terbaharu di pulau peranginan itu setelah melihat Terengganu dilanda banjir sejak Jumaat lepas.

"Namun, setelah diberi penjelasan bahawa perjalanan menaiki bot ke Pulau Redang adalah selamat, mereka berpuas hati dan meneruskan percutian seperti yang dirancang," katanya pada Rabu.

Industri pelancongan di pulau peranginan di Terengganu ditutup kepada pengunjung sejak Monsun Timur Laut November lepas, dan ia kembali dibuka secara berperingkat sejak Selasa.

Pengurus Coral Redang, Marvin Cheah pula berkata, ramai yang menyangka sektor pelancongan di pulau itu masih belum beroperasi kerana tidak mendapat maklumat yang tepat daripada sumber yang sah.

"Ada yang risau selepas melihat video tular di media sosial mengenai ombak besar yang berisiko dan berbahaya terhadap keselamatan pengunjung sedangkan video itu bukan memaparkan apa yang berlaku di Pulau Redang.

"Bagi pengurusan resort, kami sentiasa berhubung dengan pengunjung yang telah membuat tempahan agar mereka memahami situasi sebenar di sini dan tidak terpengaruh dengan maklumat tidak benar yang tersebar di media sosial," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Chong Fah Ming berkata, operasi di resortnya berjalan seperti biasa dengan pelbagai aktiviti menarik ditawarkan di Pulau Lang Tengah, antaranya mendaki bukit dan aktiviti sukan ekstrem via ferrata yang berlatar belakang pemandangan Laut China Selatan.

"Walaupun hujan, aktiviti itu masih boleh dilakukan kerana kita mempunyai ramai jurulatih yang berpengalaman untuk membimbing pengunjung yang mahu merasai pengalaman sukan lasak itu.

"Setakat ini, aktiviti selam snorkel juga boleh dilakukan kerana cuaca di Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah adalah baik. Setiap pengunjung akan diberi taklimat mengenai perubahan cuaca semasa dan keselamatan mereka adalah keutamaan kami," katanya.

Via ferrata bermaksud 'laluan besi' dalam bahasa Itali, iaitu satu trek khas di permukaan bukit, gunung atau gua menggunakan alat keselamatan lengkap untuk pendaki tiba ke puncak dengan lebih mudah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram