
SEORANG suspek yang menyamar sebagai pegawai mahkamah memperdaya penjawat awam sebanyak RM711,626.
Ahli sindiket penipuan Macau itu menghubungi mangsa berusia 52 tahun dengan menyamar sebagai pegawai dan mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bandaraya, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kes itu berlaku pada Sabtu (26 Februari 2022).
“Suspek berpura-pura menjadi pegawai mahkamah melalui panggilan telefon dan memberitahu mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.
“Mangsa kemudiannya disambungkan dengan ‘pegawai polis’ yang mengarahkan mangsa membuat transaksi ke dalam 13 akaun berbeza bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (28 Februari 2022).
Katanya, mangsa dalam ketakutan melakukan 74 transaksi berjumlah RM711,626.
“Dia hanya menyedari ditipu selepas melakukan transaksi itu dan membuat laporan polis.
“Kami telah membuka siasatan berhubung penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terperinci daripada mana-mana pegawai yang menghubungi mereka termasuk nama, pangkat dan tempat bekerja.
“Orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk menyemak semula butiran yang diberikan kepada mereka.
"Hubungi agensi berkaitan yang telah menghubungi anda melalui nombor hubungan rasmi mereka.
“Jangan sekali-kali mendedahkan maklumat akaun kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon,” katanya sambil menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menangani panggilan telefon sedemikian.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti tersebut supaya menghubungi polis Kuala Lumpur di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 serta talian maklumat WhatsApp CCID di 013-2111 222.
Orang ramai boleh mengesahkan sama ada akaun bank yang mereka diminta untuk memindahkan wang sedang disiasat kerana menipu di bushmule.rmp.gov.my. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram