KLUSTER Covid-19 di tempat kerja menunjukkan tren penurunan sejak Ogos tahun lepas, apabila lebih separuh daripada rakyat Malaysia telah diberi vaksin sepenuhnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tempat kerja membentuk lebih separuh daripada 6,774 kluster yang dilaporkan sejak permulaan wabak Covid-19.
Pemacuan vaksinasi di Malaysia bermula pada 24 Februari tahun lepas dan menjelang Ogos, lebih 55 peratus rakyat Malaysia telah menerima dua dos.
Dr Noor Hisham berkata, bilangan kluster tempat kerja tertinggi dilaporkan dari 15 hingga 21 Ogos 2021, tetapi ia mula berkurangan sebulan kemudian.
"Ini selaras dengan kejayaan program vaksinasi, walaupun terdapat pergerakan orang ramai semasa fasa pemulihan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebanyak 542,296 kes daripada 6,774 kluster yang dikenal pasti antara 25 Januari 2020 ketika kes pertama dilaporkan.
Daripada jumlah itu, 6,280 kluster telah tamat manakala 494 masih aktif.
Tempat kerja menyumbang 3,494 kluster atau 58.46 peratus daripada jumlah kluster yang dilaporkan dalam tempoh tersebut, diikuti oleh komuniti (20.41 peratus), pusat tahanan (7.62 peratus) dan pendidikan (7.22 peratus).
Aktiviti keagamaan, kelompok berisiko tinggi dan import membentuk baki 6.35 peratus.
"Sebanyak 201,281 atau 63 peratus daripada keseluruhan kes daripada kluster tempat kerja melibatkan bukan warganegara," kata Dr Noor Hisham.
Beliau berkata, kluster ini dikenal pasti dalam subsektor pembuatan, perkhidmatan, pentadbiran awam, pertanian, pembinaan dan perlombongan dan kuari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram