Isu Ebit Lew: Biar mahkamah yang putuskan — Damian


  • Hiburan
  • Isnin, 21 Feb 2022

TANGKAP layar status yang dimuat naik oleh Damian di akaun Instagram miliknya.

KES melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang didakwa di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, Sabah terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual mendapat perhatian baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ebit mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada Jumaat.

Bermacam-macam pendapat daripada netizen dikeluarkan berkenaan dengan isu terbabit termasuklah penyanyi, Damian Mikhail.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, Damian mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah ditujukan kepada mereka yang taksub dengan pendakwah itu.

"Mentang-mentang Hanapi sikat tepi, saat dia curang dengan seorang korang kecam gila-gila. Mana hilang ceramah jaga aib, mana hilang sangka baik korang, mana hilang adab dan keislaman korang semua?

"Itu baru satu tuduhan. Bukan 11. Kalau Hanapi seorang dermawan yang berjubah, berkopiah dan berbicara baik-baik, manja-manja pelat budak-budak sikit-sikit, sebak sana sini. Dah tentu lain kan," katanya.

Menurut Damian, kes sekarang sedang dibicarakan di mahkamah dan biarlah pihak yang berkuasa sahaja menyiasatnya.

"Biar la semua bukti dikemukakan mangsa-mangsa dan saksi di mahkamah. Biarlah dia bela diri. Kita semua tak perlulah sibuk buat sebarang komen dan kesimpulan macam kita ni hakim.

"Inilah peluang untuk dia bersihkan nama dia. Kalau bersalah, mereka yang taksub ni semua nak cakap apa pulak nanti?

"Masih boleh rayu di mahkamah tinggi? Masih boleh rayu di mahkamah rayuan, persekutuan dan sebagainya? Masih boleh mohon pengampunan diraja?

"Habis tu mahkamah untuk apa ni?" katanya.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun depan.

Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram