SERAMAI empat sekeluarga maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung di ibu kota pada Ahad.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM KL) dalam satu kenyataan pada Ahad, mangsa dikenali sebagai P. Milan Damani, 32, isterinya C.Tinisha, 31 dan dua anak mereka iaitu Rihaan Ivaan Damani (4) dan Ishaan Ivaan Damani (3).
"Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mangsa, yang menghala ke bangunan Parlimen, bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Keempat-empat mangsa meninggal dunia akibat rempuhan itu manakala pemandu pacuan empat roda berkenaan cedera ringan," ujar kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan tersebut, bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.52 pagi sebelum dua jentera dan sebuah ambulans, berserta 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan Sri Hartamas, dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam MPV mengambil masa kira-kira sejam dan (mayat) kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," jelas kenyataan itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram