PRN Johor: Warisan rebut enam kerusi


  • Politik
  • Jumaat, 25 Feb 2022

MENURUT Mohd Shafie, penglibatan Warisan dalam PRN Johor merupakan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. — Gambar Fail

PARTI Warisan (Warisan) akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan, kata presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat.

Enam calon Warisan adalah Hishamuddin Busri di kerusi Dun Pekan Nanas, Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Muhamed Noor Suleiman (Mahkota), Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lee Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas).

Beliau berkata, walaupun Warisan tampil buat kali pertama di Johor, parti itu yakin rakyat negeri selatan tanah air itu akan membuat pilihan bijak dan memilih kerajaan berintegriti.

"Warisan memilih calon dalam kalangan mereka yang berpengalaman, muda dan telah menabur bakti di kawasan yang ditandingi, menitikberatkan semangat kepelbagaian kaum serta berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon Warisan pada Jumaat.

Menurut Mohd Shafie, penglibatan Warisan dalam PRN Johor merupakan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

"Inilah titik permulaan kita (Warisan) di tanah Semenanjung, untuk sediakan struktur parti Warisan yang sudah ditubuhkan di Johor dengan calon-calon yang ada," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Warisan buat pertama kalinya bertanding dalam PRN Johor selepas parti politik itu melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia pada 17 Disember lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pada Sabtu sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian adalah pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Johor, Warisan, umum, calon, shafie apdal