KETUA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh diumumkan antara 42 calon yang akan mewakili parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Ahli Parlimen Sri Gading itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, yang dijangka menyaksikan persaingan lima penjuru.
Pada majlis pengumuman calon Pejuang di Muar, Johor, Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hanya dua calon Pejuang yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini, manakala yang lain adalah muka baharu.
Antara muka baharu yang diumumkan sebagai calon hari ini adalah Nornekman Osman, anak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember lepas.
NORNEKMAN akan bertanding di DUN Kempas. — The Star
Beliau akan bertanding di DUN Kempas yang pernah disandang oleh bapanya.
Pada sidang media selepas majlis pengumuman itu, Mukhriz berkata, 54 peratus daripada calon-calon Pejuang terdiri daripada meraka yang berumur di bawah 50 tahun, dengan calon termuda berusia 26 tahun manakala empat calon adalah wanita.
"Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, ada yang mempunyai latar belakang politik tapi tidak ramai.
"Kebanyakannya adalah orang-orang yang menyertai Pejuang, kali pertama menyertai parti politik mereka memilih Pejuang, ada juga datang dari parti lain sebelum Pejuang ditubuhkan dahulu dan ramai juga yang datang dari sektor swasta, badan bukan kerajaan dan akademik," katanya.
PRN Johor akan menyaksikan Pejuang menyertai gelanggang pilihan raya buat pertama kali selepas parti itu didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik pada 8 Julai 2021.
Penamaan calon bagi PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram