
PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, Aliran menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menyatakan bahawa perintah mahkamah sebelum ini yang memberikan hak penjagaan tiga orang anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong masih sah.
Menurut ahli jawatankuasa (AJK) eksekutif pertubuhan itu, pihaknya berharap keputusan berkenaan akan menamatkan pengalaman ngeri yang dialami Loh, yang terpisah dengan pasangan kembar anak perempuan dan seorang anak lelakinya tiga tahun lalu, apabila bekas suaminya menukar agama mereka.
"Ia adalah pertemuan semula yang telah tertangguh terlalu lama. Kasih sayang dan ikatan antara seorang ibu dan anak-anaknya tidak boleh diputuskan, paling tidak oleh pihak ketiga. Agama tidak boleh dijadikan alasan untuk memecahbelahkan mereka.
"Kami berharap tiada pihak akan mewujudkan halangan kepada pertemuan semula keluarga ini, yang telah diluluskan oleh undang-undang mahkamah," katanya.
Tambahnya, sebarang percubaan untuk menghalang pertemuan itu akan dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah, yang merupakan satu kesalahan serius.
Menurutnya, Loh dan anak-anaknya berhak untuk memulakan hidup baharu bersama.
"Apa-apa yang kurang daripada ini akan menjadi pencemar nilai keluarga dan pencabulan hak kolektif mereka untuk merasai kebahagiaan sebagai sebuah keluarga," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram