Penduduk gusar kelibat buaya di Kuala Kenderong, Perak


  • Tular
  • Selasa, 22 Feb 2022

GAMBAR buaya dipercayai di sebuah sungai di Kuala Kenderong, Perak.

KELIBAT seekor buaya di sebuah sungai di Kuala Kenderong, Perak menimbulkan kegusaran orang ramai termasuk nelayan di kawasan terbabit.

Lenggong TV dalam satu hantaran di laman Facebooknya mendakwa, satu aduan telah dibuat oleh Persatuan Nelayan Darat Kampung Kuala Kenderong, Gerik kepada Pejabat Perikanan Daerah berkenaan penemuan buaya terbabit yang dikatakan mengganggu serta menakutkan nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan tersebut.

Berita tersebut ternyata mengejutkan rata-rata warga maya yang mengakui bahawa mereka belum pernah dengar mengenai kehadiran buaya di kawasan terbabit.

"Risau juga Sg. Perak tempat penduduk mencari rezeki, sebelum ini tak pernah dengar kata ada buaya," ujar seorang netizen.

Ada juga yang berpendapat bahawa tidak mustahil kawasan terbabit dikunjungi buaya memandangkan ia merupakan habitat kepada udang galah.

"Tak mustahil akan ada lagi dekat sepanjang sungai Perak, di mana ada udang galah di situ ada buaya.

"Hati-hati kepada nelayan sungai Perak semua ya," tulis seorang lagi warga maya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

buaya, sungai, perak, kuala kenderong