AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS.
Pengumuman itu dibuat ketika menghadiri mesyuarat MSU PAS yang diadakan secara hibrid pada malam Ahad, 20 Februari 2022.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Khairuddin berkata, peletakan jawatan itu dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).
"Saya dijemput menghadiri mesyuarat MSU PAS yang diadakan secara hibrid sebagai Ahli dan Setiausaha MSU.
"Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7)," katanya dalam kenyataan itu.
Khairuddin juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5).
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS yang memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli MSU sejak 2013 seterusnya Setiausaha MSU sejak 15 Disember 2020.
"Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Hj Hashim Jasin dan semua Ahli MSU yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan PAS untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti.
"Saya terus istiqamah menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen PAS dan juga tugasan-tugasan lain dalam parti," katanya.
Khairuddin sebelum ini digugurkan daripada jawatan Setiausaha MSU PAS berkuat kuasa Khamis (10 Februari 2022).
Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu turut digugurkan sebagai AJK PAS pada 12 Januari lalu, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram