KERAJAAN Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Perak dijangka akan mengadakan satu mesyuarat pada 1 Mac ini bagi membincangkan mengenai pembekalan air mentah dari Sungai Perak, seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sebenarnya sudah merangka pelan kontingensi air dan kajian telah dilakukan seawal 2009 untuk mendapatkan sumber air yang alternatif menjelang 2025.
Menurutnya, kajian itu telah mengenal pasti Sungai Perak sebagai satu alternatif air mentah dan perkara itu turut disedari oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
"Sebenarnya perbincangan itu patut diadakan minggu lepas namun ada kes Covid-19, perbincangan itu ditunda kepada 1 Mac dan akan diadakan di Perak," katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang pada Isnin.
Projek SPRWTS dicadangkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memanfaatkan sumber air kedua Pulau Pinang di Sungai Perak untuk memenuhi keperluan permintaan air pada masa hadapan bagi Pulau Pinang dan utara Perak sehingga tahun 2025.
Pada 2019, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP bercadang untuk membeli air mentah dari Sungai Perak tetapi Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu menjual air terawat.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ketika itu mempertimbangkan kedua-dua cadangan oleh kerajaan negeri untuk menentukan pilihan terbaik yang akan menawarkan faedah bersama termasuk pilihan ketiga iaitu ‘hibrid’ yang menggabungkan pemindahan air mentah dan air terawat ke Pulau Pinang dan infrastruktur bekalan air Perak.
Sementara itu, Chow berkata, pihaknya tidak menerima sebarang perkembangan terbaru dari Kedah berhubung tindakan negeri itu melantik panel peguam bagi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.
"Setakat ini tiada apa-apa diterima secara rasmi mengenai tuntutan dan tindakan Kerajaan Kedah," katanya.
Pada Januari lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah dilaporkan melantik panel peguam untuk membuktikan kerajaan negeri itu sangat serius dalam isu caj air mentah terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang, setelah sekian lama permintaan tidak diendahkan negeri itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram