Berita palsu PRN Johor banyak, tapi terkawal — Menteri


  • Primer
  • Sabtu, 19 Feb 2022

ANNUAR Musa berkata, pihaknya akan memantau perkara berkenaan namun buat masa ini keadaan masih terkawal.  — Bernama

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerima banyak aduan berkaitan berita palsu melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan memantau perkara berkenaan namun buat masa ini keadaan masih terkawal.

"Kita kena sepanjang masa memantau keadaan itu (berita palsu) dan kita tahu, kita tidak boleh menghapuskan 100 peratus tetapi kita menggerakkan dan membangkitkan kesedaran kerana menyebarkan berita palsu bukan sahaja tidak baik malah tidak membawa untung kepada sesiapa,” katanya selepas program Santai Anak Muda di Ngepot Kabin di Kluang, Johor pada malam Jumaat.

Sementara itu, mengenai pengundi muda pada PRN Johor, Annuar berkata, beliau yakin orang muda di negara ini mempunyai maklumat dan pengetahuan luas untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran dan menentukan kepimpinan negara.

Terdahulu, Annuar yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Johor bermula Jumaat menunaikan solat maghrib bersama penduduk di Kampung Melayu di Kluang.

Beliau dijadual melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Zon Tengah di Felda Kahang Barat, Kluang pada pagi Sabtu dan menyampaikan watikah Ketua Komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah, Kluang pada sebelah malam.

Pada Ahad, Annuar akan menghadiri Town Hall Bicara Keluarga Malaysia dan pelancaran Hari Radio Sedunia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor di Johor Bahru. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Annuar Musa, KKMM, berita palsu, PRN Johor