JABATAN Peguam Negara (AGC) masih boleh meneliti dan mengkaji semula pertuduhan membunuh bayi lelaki baru dilahirkan yang dikenakan terhadap seorang remaja, kepada pertuduhan lain.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh AGC, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kejadian rogol ke atas remaja perempuan berkenaan yang berumur 14 tahun 11 bulan.
Jabatan berkenaan memaklumkan remaja berkenaan akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan orang yang dituduh itu adalah seorang kanak-kanak seperti mana takrifan di bawah Akta 611 dan jika disabitkan kanak-kanak itu akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2).
Di bawah seksyen itu pesalah muda ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.
Jelas AGC, pertuduhan ke atas remaja itu adalah satu proses keadilan jenayah yang telus tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.
"Maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas remaja tersebut ditangkap, di mana satu laporan polis dibuat olehnya pada 8 Februari 2022. Susulan daripada laporan polis itu satu kertas siasatan dibuka dan siasatan masih dijalankan,” ujarnya.
Tambah AGC, laporan polis berkaitan kertas siasatan itu dibuat pada 8 Februari lalu oleh seorang pegawai perubatan yang memaklumkan bahawa pada hari berkenaan 9 pagi, semasa sedang bertugas di Klinik Kesihatan Seri Bandi, Kemaman, Terengganu beliau dimaklumkan tentang satu kes bersalin di rumah.
"Pada jam lebih kurang 9.10 pagi, pengadu bersama pasukan ke lokasi dan terlihat satu perempuan sedang memegang bayi berhampiran sinki dapur. Pengadu juga mendapati tali pusat bayi dipotong dengan menggunakan benda tajam.
"Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan yang dikemukakan, Pejabat Pengarah Pendakwan Negeri telah memberi kebenaran untuk pertuduhan ke atas remaja itu yang berumur 14 tahun 11 bulan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kematian bayi dilahirkan itu,” menurut kenyataan tersebut.
Jelasnya lagi, pertuduhan dibuat berasaskan keterangan saksi-saksi dan dokumentasi serta keterangan pegawai forensik dan pengesahan pakar patologi bahawa bayi yang mati itu berumur antara 38 hingga 40 minggu dengan berat 2.49 kg semasa dilahirkan dengan tali pusat dipotong dengan benda tajam dan terdapat kecederaan lain termasuk satu tikaman pada bahagian badan bayi tersebut.
Pada 15 Februari lepas, remaja itu didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman di Terengganu atas pertuduhan dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi di negeri itu antara 7 hingga 9 pagi, pada 8 Februari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram