TUJUH lelaki tempatan ditahan pihak Polis Klang Selatan di sekitar Shah Alam dan Klang awal pagi Jumaat kerana disyaki terlibat dengan kes penculikan seorang pekerja binaan warga Bangladesh.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis berjaya memberkas kesemua suspek lelaki yang berusia 20 hingga 25 tahun antara pukul 1.30 hingga 4 pagi selepas menerima laporan daripada adik mangsa kira-kira pukul 1 pagi hari sama.
"Adik mangsa berusia 32 tahun tersebut menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya berusia 38 tahun kira-kira jam 8.57 malam, pada Khamis lalu.
"Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan abangnya itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dilepaskan atau jika enggan memberikan wang mereka akan pergi ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kumpulan suspek itu datang dengan membawa mangsa hampir sejam kemudian dan memukul adiknya dan tiga rakannya di rumah tersebut, sebelum beredar dengan membawa sekali mangsa.
Tambahnya, mangsa berjaya ditemui di tepi jalan di Shah Alam kira-kira pukul 1.31 pagi hari sama selepas ditinggalkan suspek.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
"Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 365," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram