KKM terima lapan laporan AEFI PICKids, semuanya kesan sampingan ringan


  • Primer
  • Rabu, 16 Feb 2022

PERATUSAN pemberian vaksin menerusi PICKids di seluruh negara masih rendah iaitu sekitar tujuh peratus. — The Star

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hanya menerima lapan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula pada 3 Februari 2022 dengan kesemuanya mengalami kesan sampingan ringan termasuk bengkak pada bahagian bahu selepas menerima vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu membabitkan hanya 0.006 peratus daripada keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah diberikan suntikan vaksin Covid-19 setakat Selasa.

"Apabila laporan AEFI dibuat kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kita akan melakukan catatan. Malah, kita juga telah memaklumkan sebelum ini apa-apa kesan yang berkaitan vaksin Covid-19, penerima boleh buat laporan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan pada Rabu. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) berkata, setakat ini, peratusan pemberian vaksin menerusi PICKids di seluruh negara masih rendah dengan hanya merekodkan sekitar tujuh peratus.

Beliau berkata, Melaka mencatatkan peratusan pemberian vaksin tertinggi kepada kanak-kanak dengan 16.1 peratus diikuti Sarawak 13.99 peratus selain Kelantan berada dalam kelompok negeri terendah iaitu sekitar 1.18 peratus.

Dr Noor Azmi berkata, pihaknya menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak termasuk 2.7 juta yang bersekolah akan menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Kita menyeru kepada semua ibu bapa agar mengambil keputusan yang bertanggungjawab dengan menghantar anak-anak mereka menerima suntikan demi melindungi kesihatan,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata setakat tahun lepas, 278,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 17 tahun telah dijangkiti Covid-19 dengan 63 daripada jumlah itu dilaporkan meninggal dunia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram