TEMA perkahwinan bukan isunya, tetapi pemikiran ibu bapa yang ingin menghentam soalan sebelum memikirkan isu yang berlaku di sekitar mereka.
Itu pandangan seorang penceramah, guru dan juga penulis buku Tan CL atau lebih dikenali sebagai Cikgu Tan CL.
Berkongsi ciapan di laman sosial Facebook, Tan tidak bersetuju dengan kritikan ramai pihak terhadap soalan ujian lisan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) yang berkaitan dengan tema perkahwinan idaman.
Katanya, tidak wajar orang ramai menunding jari kepada sistem pendidikan kerana ia hanyalah tema umum dan jawapan bergantung pada cara penjelasan sama ada perkahwinan yang diinginkan itu bertemakan moden atau tradisional atau lebih kreatif.
"Murid berusia 17 tahun sudah pernah menghadiri majlis perkahwinan, didedahkan mengenainya di media sosial, malah ia pasti pernah berlaku dalam setiap keluarga.
"Oleh itu, murid sememangnya mempunyai asas pengetahuan dan pengalaman tentang majlis seperti ini, tambahan pula, ada calon yang sudah berkahwin dan ramai antara mereka yang sudah mempunyai teman lelaki atau wanita sebelum SPM lagi," katanya pada Ahad.
Tambahnya lagi, berdasarkan realiti itu, murid sememangnya sudah banyak membincangkan tentang tema perkahwinan impian mereka dan berpandangan lebih terbuka.
Katanya lagi, tidak hanya itu, informasi berkaitan dengan perkahwinan, majlis perkahwinan, adat resam, dan kebudayaan dalam perkahwinan, pakaian tradisional sudah dimasukkan dalam buku teks sekolah rendah hingga sekolah menengah, terutamanya buku teks Bahasa Melayu.
Menerusi hantaran itu, Tan turut memberitahu bahawa ibu bapa sepatutnya menyelami isu yang lebih pedas daripada tema ujian bertutur yang sebenarnya mudah dijawab oleh murid berlandaskan pengetahuan, pengalaman, dan pemikiran mereka.
"Jika anda (ibu bapa) memasuki laman Telegram murid calon SPM, anda akan terkejut kerana remaja tersebut sudah memanggil teman wanita sebagai "mama" atau "mummy" dan teman wanita sudah menggelar teman lelaki mereka "papa" atau "daddy".
"Isu ujian bertutur ini hanya menjadi tular kerana pihak tertentu yang hendak mempropagandakan isu kecil yang tidak pernah menjadi masalah kepada calon peperiksaan," ujarnya.
Terdahulu, ramai pihak terutama golongan ibu bapa yang menghujani rasa kecewa dan tidak pusa hati dengan soalan ujian lisan SPM yang berkaitan tema perkahwinan idaman.
Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut menyuarakan kritikan berhubung perkara itu menerusi hantaran di Instagram dan menganggap bahawa soalan sedemikian tidak relevan untuk pelajar berumur 17 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram