750,000 pengundi baharu PRN Johor cetus isu besar — Tok Mat


  • Politik
  • Selasa, 08 Feb 2022

750,000 pengundi baharu dalam PRN Johor akan mencetuskan isu besar kepada semua parti politik. — The Star

SERAMAI 750,000 pengundi baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan mencetuskan isu besar kepada semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).

Pengarah PRN Johor untuk BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, angka tambahan itu akan menjadikan jumlah pengundi di negeri sebanyak kira-kira 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Peningkatan mendadak dalam jumlah pengundi ini merupakan isu besar bukan sahaja kepada BN, malah kepada semua parti politik tentang cara mengkaji sikap pengundi baharu," katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sebahagian besar pengundi baharu terdiri daripada individu berumur 21 tahun ke atas dan bukan hasil Undi18.

"Jangan salah faham isu ini. Daripada 750,000 pengundi baharu, bukan semuanya berumur 18 hingga 21 tahun.

"Tidak ramai (dalam kalangan umur 18 hingga 21 tahun). Mereka bahkan tidak membentuk 30 peratus (daripada pengundi baharu). Kebanyakan mereka berumur 21 tahun ke atas.

"Ini juga perkara yang sedang dilihat dengan teliti oleh BN dan Umno, terutamanya dari segi bagaimana kita mahu memikat kumpulan ini, untuk memastikan mereka akan menyokong BN dalam pilihan raya negeri," katanya.

Bercakap mengenai peruntukan kerusi pada PRN Johor, Mohamad berkata, Umno sudah pun menyenarai pendek nama calon.

"Kami telah meminta badan perhubungan dan bahagian negeri (untuk) nama yang mereka ingin calonkan.

"Kita juga dengar parti komponen kita melakukan perkara yang sama dan sedang menunggu masa yang sesuai untuk duduk bersama, bagi melihat kerusi mana yang bakal ditandingi oleh parti lain.

"Cara terbaik (untuk BN memenangi PRN) adalah mengenal pasti kerusi yang boleh dikekalkan dan dirampas semula. Ini mesti dirunding dengan betul," katanya.

Tambahnya, BN juga menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kerusi di kawasan utara Johor, yang mana terdapat sebanyak 16 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada 16 kerusi itu, beliau berkata, BN berhasrat untuk menang 12 kerusi pada kali ini, selepas hanya memenangi dua pada PRU14.

Beliau menyifatkan perkara itu berpunca daripada isu dalaman dan masalah calon, mengakibatkan parti lawan menang dengan majoriti tipis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram