Dua bomba cedera dipatuk ular tedung bersalin kulit


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jan 2022

SEORANG petugas pemadam kebakaran Wilayah Tangerang, Indonesia menunjukkan ular tedung yang ditangkap di sebuah rumah di kawasan tersebut. — Agensi

NASIB malang menimpa dua orang petugas bomba Kota Bogor, Indonesia selepas mereka dipatuk ular tedung yang sedang bersalin kulit.

Mangsa pertama dikenali sebagai Iwan dipatuk ketika operasi menangkap reptilia itu sebelum dikejarkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Kota Bogor pada tengah malam Selasa (28 Disember).

Ketua Pasukan Pemadam Kebakaran Kota Bogor, Ade Nugraha berkata, kejadian bermula apabila petugas terbabit mendapat laporan dari warga Desa Pasir Jambu, Sukaraja, bahawa terdapat seekor ular tedung di dalam bilik salah sebuah rumah di kampung itu.

"Ular tedung itu dikatakan sedang bersalin kulit di belakang almari pakaian," katanya seperti dipetik portal liputan6.com pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ade berkata, mangsa sempat menyambar kepala ular tersebut namun ketika mahu dimasukkan ke dalam karung, ular sepanjang 1.5 meter itu tiba-tiba bertukar ganas hingga bertindak mematuk tangan mangsa.

Ade berkata, ketika di hospital, ular sama mematuk seorang lagi petugas lain, Nurdiansah ketika mangsa mahu menunjukkan reptilia itu kepada doktor bagi mengenal pasti jenis antivenom yang patut diberikan.

"Keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil manakala ular itu terpaksa dibunuh kerana dianggap sangat berbahaya.

"Memang ketika bersalin kulit, ular biasanya menjadi lebih agresif menjadikan operasi menangkap reptilia itu lebih sukar," jelas Ade. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ular, patuk, bomba, bersalin kulit, Bogor, Indonesia