BARISAN Nasional (BN) tidak gusar dengan mana-mana parti politik di negara ini, kerana gabungan itu sentiasa bersiap siaga untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno menerima desakan untuk 'menyerah tengkuk kepada musuh dalam selimut' daripada sebilangan ahli politik yang sedang selesa dan enak dengan kuasa serta kedudukan masing-masing.
Beliau yang juga Presiden Umno menerusi hantaran di laman Facebook juga menjelaskan kerajaan Johor sedia ada, berdepan dengan dilema apabila sering diugut dan diancam oleh parti politik tertentu jika tidak menuruti kepentingan mereka.
"Justeru, sebelum parti politik itu tekan butang secara tiba-tiba dan menimbulkan kekalutan, adalah lebih 'afdal' kita tekan butang terlebih dahulu,” katanya pada Khamis.
STATUS Ahmad Zahid berhubung PRN Johor. — Facebook
Beliau juga mengakui ada yang khuatir parti politik tersebut akan bertindak balas dengan 'menekan butang' di peringkat Persekutuan, andai tewas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Justeru, beliau menyifatkan PRU15 mustahak untuk memastikan keadaan politik Malaysia kembali pulih, dan kestabilan politik penting untuk memastikan Malaysia dapat bergerak maju ke hadapan serta bangkit segera daripada kerosakan sejak 9 Mei 2018.
Menurutnya, PRN Johor pula penting untuk mengembalikan kestabilan di negeri itu.
"PRN Johor perlu diadakan apabila berlaku ketidakstabilan politik, selepas kerajaan sedia ada hanya memiliki kelebihan satu kerusi majoriti.
"Banyak kali ini diperjelaskan, termasuk risiko untuk mendapatkan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap sesuatu usul yang penting untuk rakyat negeri itu,” katanya pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram