RHB, SMG jalin kerjasama bantu perniagaan tempatan


  • Bizz
  • Jumaat, 11 Feb 2022

KETUA Pegawai Pemasaran RHB Group, Abdul Sani Abdul Murad (kiri); Ng (tengah) dan Wang melancarkan kerjasama #JomSapot BeliLokal di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat. — The Star

RHB Banking Group (RHB) dan Star Media Group (SMG) pada Jumaat melancarkan kempen #JomSapot BeliLokal bagi menyokong perniagaan rakyat Malaysia serta merangsang pemulihan ekonomi negara.

Sejak dua tahun lalu, ekoran perubahan drastik dalam landskap ekonomi dan anjakan paradigma yang tercetus akibat pandemik Covid-19, banyak perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) terjejas teruk.

Dalam usaha untuk membawa harapan dan semangat positif kepada perniagaan tempatan ketika negara menyambut tahun baharu, kedua-dua pihak bekerjasama melancarkan acara #JomSapot BeliLokal untuk memainkan peranan mereka dalam membantu negara kembali pulih dan berkembang maju sekali lagi.

"Kami secara berterusan mengkaji pelbagai lagi cara untuk membantu PKS dan menerusi kerjasama strategik dengan SMG yang berteraskan inisiatif #JomSapot dan BeliLokal, kami berjaya menyediakan jalan baharu beserta rangsangan yang kuat kepada perniagaan dengan memanfaatkan pembaca media SMG yang meluas untuk memacu lagi keterlihatan dan kesedaran tentang aktiviti perniagaan PKS serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Oleh itu, menjadi harapan kami bahawa PKS akan mengambil bahagian dan menggunakan sepenuhnya platform ini untuk mendekati dan memanfaatkan peluang perniagaan baharu," ujar Pengarah Urusan Perbankan Komuniti RHB Group, Jeffrey Ng.

Peniaga tempatan meliputi kategori makanan dan minuman; pelancongan; rumah dan kediaman; kesihatan dan kesejahteraan, runcit serta perkhidmatan akan akan disediakan penyenaraian produk percuma eksklusif di #JomSapot RHB dan BeliLokal SMG selama enam bulan dan komunikasi pemasaran lain, dalam usaha mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengguna tanpa kos tambahan apabila mereka menyertai kempen berkenaan.

Ini bermakna selain disenaraikan di platform #JomSapot BeliLokal, produk dan perkhidmatan mereka juga akan diterbitkan dalam bentuk digital, percetakan serta radio di The Star, mStar dan 988FM untuk mencapai khalayak yang lebih meluas.

Selain itu, platform kerjasama ini menyediakan sokongan 'hujung ke hujung' kepada perniagaan, termasuk RHB memudahkan peniaga menguruskan pembayaran pelanggan dengan mudah melalui DuitNow QR melalui Aplikasi Mudah Alih RHB Reflex.

“SMG cuba membantu mikro dan PKS Malaysia yang sedang bergelut dan untuk membawa usaha kami ke peringkat seterusnya, kami kini berganding bahu dengan RHB melalui kerjasama #JomSapot BeliLokal, yang memanfaatkan kekuatan organisasi masing-masing.

“Melalui kempen ini, perniagaan boleh mencapai khalayak yang lebih meluas serta akan meningkatkan keuntungan mereka, manakala pengguna boleh menemui dan menyokong perniagaan tempatan ke arah pemulihan ekonomi negara,” kata Ketua Pegawai Perniagaan SMG, Lydia Wang.

Untuk menyertai kempen ini, peniaga baharu perlu mendaftar Akaun Semasa Perniagaan RHB untuk mendapat pendedahan mempromosikan perniagaan mereka, manakala peniaga sedia ada hanya perlu mendaftar sendiri untuk menjadi sebahagian daripada kempen #JomSapot BeliLokal tanpa kos tambahan.

Sementara itu, bagi pelanggan RHB yang menyertai dan menyokong peniaga tempatan ini melalui #JomSapot BeliLokal, mereka boleh memperoleh sehingga 10 juta mata kesetiaan untuk menebus lebih 8,000 hadiah dan baucar apabila berbelanja dengan #JomSapot menggunakan kad kredit atau debit RHB atau DuitNow QR.

Peniaga terpilih juga akan ditampilkan dalam salah satu daripada tiga sesi jualan langsung 'Sapot Lokal Day' eksklusif dalam separuh pertama tahun ini, yang akan berlangsung pada bulan Mac, April dan Jun.

Ini berdasarkan kempen #JomSapot RHB, yang membantu PKS memacu aktiviti perniagaan dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dengan mudah kepada empat juta asas pelanggan RHB sedia ada pada kos sifar.

Sejak pelancarannya pada 2020, #JomSapot mendapat perhatian ramai dan sejak itu menarik lebih 5,700 cawangan yang dikendalikan oleh PKS di Malaysia daripada pelbagai segmen industri.

Urus niaga para peniaga meningkat dengan ketara, dengan peniaga #JomSapot merekodkan pertumbuhan perbelanjaan kad kredit dan kad debit masing-masing sebanyak 12 peratus dan 20 peratus.

Nilai transaksi QR DuitNow RHB juga meningkat enam kali ganda dan jumlah transaksi meningkat tujuh kali ganda melalui kempen berkenaan.

Untuk mendaftar menjadi sebahagian daripadanya dan menikmati faedah istimewa, atau untuk menunjukkan solidariti anda dengan menyokong perniagaan tempatan, layari www.rhbjomsapot.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram