Lebih separuh orang Melayu belum terima ‘booster’ — KJ


  • Primer
  • Jumaat, 11 Feb 2022

SETAKAT Khamis, masyarakat Melayu merekodkan sebanyak 47.9 peratus individu yang telah menerima dos penggalak, Cina (81.3 peratus), India (56.4 peratus), Orang Asli dan Peribumi (49.6 peratus) dan lain-lain (50.6 peratus). — Bernama

KURANG daripada 50 peratus masyarakat Melayu telah menerima dos penggalak Covid-19, jumlah paling sedikit berbanding kaum-kaum lain di negara ini, menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat, Khairy berkata, secara keseluruhan, pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula kerana ia merupakan langkah terbaik dalam memberi perlindungan terutama dalam gelombang Omicron yang pantas merebak ketika ini.

"(Sebanyak) 80 peratus masyarakat Cina ‘booster’ (menerima suntikan dos penggalak). Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang 50 peratus,” katanya.

Berdasarkan peratusan data liputan dos penggalak mengikut bangsa di seluruh negara yang dikongsikan Khairy, setakat Khamis, masyarakat Melayu merekodkan sebanyak 47.9 peratus individu yang telah menerima dos penggalak, Cina (81.3 peratus), India (56.4 peratus), Orang Asli dan Peribumi (49.6 peratus) dan lain-lain (50.6 peratus).

Sarawak menjadi negeri dengan peratusan tertinggi individu yang menerima dos penggalak iaitu sebanyak 76.8 peratus.

Ini diikuti Melaka dengan 71.9 peratus, Lembah Klang (66.9 peratus), Negeri Sembilan (62.4 peratus), Pulau Pinang (61.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (57.1 peratus), Johor (56.8 peratus).

Perak pula merekodkan 51.7 peratus, diikuti Pahang (48.3 peratus), Kedah (43.9 peratus), Terengganu (38.4 peratus), Perlis (30.9 peratus), Kelantan (25.3 peratus) dan Sabah (24.8 peratus).

Dalam pada itu, Khairy yang turut berkongsi peta liputan dos penggalak Covid-19 bagi Lembah Klang dan Johor berkata tumpuan perlu diberikan di kawasan liputan rendah terutamanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setakat Khamis, keseluruhan 57 peratus penduduk di Johor telah menerima suntikan dos penggalak dengan Muar merekodkan sebanyak 71 peratus, diikuti Johor Bahru (67 peratus), Kulai (56 peratus), Batu Pahat (52 peratus), Kluang (46 peratus), Kota Tinggi (42 peratus), Tangkak (40 peratus), Segamat (37 peratus), Pontian (35 peratus) dan Mersing (32 peratus).

Bagi tempoh sama di Lembah Klang, keseluruhan 67 peratus penduduk telah menerima dos penggalak dengan Petaling merekodkan jumlah penduduk yang menerima dos penggalak tertinggi iaitu sebanyak 79 peratus diikuti Kuala Lumpur (75 peratus), Putrajaya (70 peratus) dan Hulu Langat (61 peratus).

Klang dan Gombak pula, masing-masing 59 peratus, Kuala Langat dan Sepang masing-masing 54 peratus, Kuala Selangor (48 peratus), Sabak Bernam (40 peratus) dan Hulu Selangor (20 peratus). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram