Vaksinasi, dos penggalak bantu kurangkan kemasukan ke hospital, ICU, kematian


  • Primer
  • Selasa, 08 Feb 2022

DR Noor Hisham berkata, vaksinasi dan dos penggalak banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, ICU dan kematian. — The Star

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksinasi dan dos penggalak telah banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian ketika gelombang Omicron melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan itu menerusi laman Twitternya berkata, keadaan itu bagaimanapun berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini, apabila kes harian mencecah lebih 10,000 dan indikator utama Covid-19 juga tinggi.

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin Covid-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya.

WhatsApp Image 2022-02-08 at 7.47.28 PM

TANGKAP layar ciapan Dr Noor Hisham di laman Twitter.

Menurut infografik perbandingan indikator utama Covid-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala pada Isnin 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan pada Isnin, manakala bagi bilangan kemasukan kes Covid-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala sebanyak 135 kes direkodkan pada Isnin.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193, manakala Isnin merekodkan sebanyak sembilan kes.

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548, manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi Isnin adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,139. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram