Khuatir peningkatan kes jejas produktiviti negara


SEORANG kanak-kanak menerima suntikan vaksin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu pada Selasa. — Bernama

MALAYSIA terus menunjukkan peningkatan angka kes harian Covid-19 berikutan gelombang varian baharu, Omicron.

Pada Selasa, sebanyak 13,944 kes harian dilaporkan. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 73 kes direkodkan bagi Kategori 3,4,5 manakalah 13,781 kes (99.48 peratus) bagi Kategori 1 dan 2.

Seorang pengguna Facebook, Nasaruddin Nasa menyatakan dalam usaha negara untuk memulihkan ekonomi, setiap produktiviti rakyat perlu diambil kira.

"Contoh, kalau dalam satu kilang membekal makanan, yang mana ada sebahagian pekerjanya diarah menjalani kuarantin wajib, maka ia akan menjejaskan produktiviti pengeluaran kilang berkenaan untuk tempoh tujuh hingga 10 hari.

"Sama juga bagi sebuah restoran yang terpaksa ditutup operasinya untuk dua atau tiga hari disebabkan penularan kes jangkitan, pengusaha restoran tidak dapat meraih pendapatan jualan untuk tempoh terbabit.

"Bagi peniaga dan penjaja yang perolehan pendapatan mereka bergantung kepada perolehan harian, maka jika mereka positif Covid-19 dan diarah menjalani kuarantin selama tujuh hingga 10 hari, sudah pasti jualan mereka terjejas serta pendapatan hariannya merosot atau tidak ada.

"Bagi kaunter seperti bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan jabatan-jabatan kerajaan yang menyediakan kemudahan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, jika kakitangan diarah kuarantin wajib, maka ia akan menjejaskan produktiviti penyampaian.

"Jika keadaan ini berterusan, segala urusan rakyat terjejas. Nak perbaharui passport pun makan berjam lama tunggu," katanya.

Tambahnya, susulan peningkatan harian yang tinggi bukan sahaja akan menentukan jumlah kemasukan pesakit ke hospital tetapi adalah penilaian terhadap produktiviti negara.

"Negara yang produktivitinya rendah, akan menyukarkan ekonominya untuk pulih dan rakyat akan terus dibelenggu kesukaran hidup bahkan berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran termasuk kenaikan harga barang yang berpanjangan, isu sekuriti makanan, pengangguran dan banyak lagi.

"Kita ambil contoh mudah China, bila mereka laksana dasar Sifar Covid-19, ada saja kes positif yang tinggi, semua penduduknya akan diarah kuarantin. Secara tak langsung, pengeluaran bekalan bertih jagung dan dedak untuk makanan ayam yang dieksport ke negara luar termasuk Malaysia semuanya terjejas dan bekalan menurun. Kesan daripada rantaian itu adalah peningkatan mendadak harga makanan ayam sekali gus harga ayam di pasaran.

"Peningkatan kes harian tetap penting untuk kita mengukur tahap kesediaan negara beralih ke fasa endemik dan pemulihan ekonomi yang sebenar. Yang makan gaji bulan-bulan termasuk penjawat awam tu, jangan 'yak yak yeh' sangat bila diarah kuarantin duduk rumah, jeling-jelinglah sedikit pada penjaja dan saudara-mara yang bekerja di industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berharap kepada pulangan harian.

"Samalah juga dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor. Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membenarkan mereka yang positif untuk hadir mengundi di pusat mengundi. Jadinya, kalau berpuluh ribu positif, dan ratusan ribu pula menjadi kontak rapat, apa kejadahnya kita buat pilihan raya kalau ramai yang tak boleh mengundi.

"Mengurangkan kes harian dengan cepat satu usaha yang tetap dan amat penting ketika ini. Patuh prosedur operasi standard (SOP)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram