Kes Mara: Tiga lagi selesai beri keterangan kepada SPRM


  • 112
  • Rabu, 09 Feb 2022

SPRM menyerbu bangunan Mara Corp baru-baru ini. — Gambar hiasan/Facebook

TIGA lagi individu selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu, berhubung siasatan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, seramai 10 lagi individu dikenal pasti, untuk dipanggil bagi memberi keterangan dalam siasatan kes itu.

"Siasatan dijangka mengambil masa dua minggu bermula minggu ini, dan kesemua individu yang dipanggil ini terdiri daripada ahli lembaga pengarah, dan pegawai-pegawai kanan Mara.

"Ini untuk kita tahu sama ada pemberian elaun seperti yang didakwa, mendapat kebenaran ahli lembaga pengarah atau tidak,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya juga mendapat semua dokumen yang diperlukan semasa serbuan ke atas Ibu Pejabat Mara dan Mara Corporation, serta syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai tujuh individu selesai memberi keterangan bagi siasatan kes itu.

Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, MARA, MARA Corp, salah laku, integriti, Azam Baki,