SPRM serbu pejabat Mara Corp Kuala Lumpur


  • 112
  • Isnin, 07 Feb 2022

MARA tidak akan sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku dalam urus tadbir syarikatnya. — The Star

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan salah urus di syarikat pemegangan pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Mara Corp.

Difahamkan SPRM menyerbu tiga pejabat di Kuala Lumpur iaitu di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang.

Dua serbuan di Jalan Mara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dilakukan masing-masing oleh empat pegawai SPRM manakala serbuan di Jalan Bukit Bintang melibatkan tiga pegawai.

Dipercayai serbuan bermula pada 10.30 pagi Isnin (7 Februari 2022).

Sebelum ini dilaporkan SPRM telah menerima laporan mengenai isu itu dan akan melancarkan siasatan dengan merekodkan keterangan beberapa saksi daripada Mara. Corp.

"Kami memandang serius dakwaan kemungkinan salah urus melibatkan beberapa pegawai kanan di Mara. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (5 Februari 2022).

Pada Jumaat (4 Februari 2022), Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, mereka telah memulakan siasatan lanjut terhadap Mara Corp untuk menyemak dokumen berkaitan bagi memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, ini berikutan penyebaran dokumen pentadbiran dalaman tanpa kebenaran kepada orang ramai, yang menimbulkan persepsi negatif terhadap Mara dan anak syarikatnya.

“Sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam urus tadbir anak syarikat di bawah agensi ini, Mara tidak akan sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai intergriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, serbu, Mara, Mara Corp, rasuah, salah guna kuasa