IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menafikan dakwaan di media sosial kononnya tidak menjalankan siasatan berhubung kemalangan jalan raya yang membabitkan anak kepada bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, siasatan terhadap kes kemalangan itu dibuka sejurus selepas laporan mengenainya diterima.
"Kuasa menutup mana-mana siasatan bukanlah terletak di bawah bidang kuasa pihak polis. Atas sebab itu adalah sangat mustahil sama sekali wujudnya campur tangan dari mana-mana pihak, berkaitan siasatan kes ini.
"Semua langkah-langkah perlu dalam prosedur siasatan sudah dilaksanakan termasuk membuat ujian darah dan urin. Keputusan ujian urin yang dibuat adalah negatif, sementara ujian toksikologi sampel darah masih belum diperoleh dari Jabatan Kimia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Anbalagan berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai tohmahan yang tidak berasas seperti ini dan pihak polis akan menjalankan siasatan seadil-adilnya kepada kedua-dua belah pihak berlandaskan peruntukan undang-undang.
TANGKAP layar ciapan tular Edisi Khas yang dimuat naik pada Isnin. — Twitter
Katanya, konsep keadilan meliputi hak bagi orang yang menjadi mangsa dan juga kepada orang yang sedang disiasat.
"Oleh yang demikian, polis ingin menegaskan sekali lagi bahawa tohmahan sebegini bertujuan menjatuhkan reputasi pihak polis demi kepentingan peribadi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Terdahulu, tular satu ciapan yang dikeluarkan akaun 'Edisi Khas' mendakwa seorang individu dinamakan sebagai Dr R, dan bertugas di sebuah hospital kerajaan terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan mangsa yang dilanggar meninggal dunia di tempat kejadian.
Edisi Khas pada Isnin dilaporkan memetik Dr R sebagai anak kepada bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mokhtar Shariff. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram