Belum pinjam wang, satu keluarga sudah diburu ah long Singapura


  • 112
  • Selasa, 08 Feb 2022

MANGSA menunjukkan gambar keretanya disimbah cat merah oleh ah long pada 3 Februari lalu. — The Star

SEORANG ahli perniagaan dan keluarganya hidup dalam ketakutan selepas pintu pagar rumah dan kereta mereka disimbah cat merah, dipercayai dilakukan oleh ahli sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen atau ah long dari Singapura.

Wong Hon Tong, 47, berkata, kejadian itu berlaku pada 3 Februari lalu, apabila kakaknya yang tinggal bersamanya menyedari cat itu kira-kira jam 6 pagi.

Dia yang tinggal di Batu Gajah, Perak, berkata, adik perempuannya yang menetap di Johor mengadu bahawa dia hanya bertanyakan tentang pinjaman wang di media sosial, namun tidak pernah menerima sebarang wang.

Namun, katanya, ah long tersebut tetap bertindak memburunya.

Tong berkata, seorang saudara lelakinya yang bekerja di Singapura turut menerima tempias apabila rumahnya juga disimbah cat sebanyak dua kali, sekali gus menyebabkannya terlibat dalam situasi itu.

"Dua bulan lalu, dia (ah long) meminta saya menjelaskan hutang adik saya. Namun adik saya tidak pernah menerima sebarang pinjaman dan saya juga enggan membayar walau satu sen pun," katanya ketika sidang media di ibu pejabat MCA Perak dekat Ipoh, Perak pada Selasa.

Turut hadir pada sidang media itu adalah isterinya, Wong Chung Chien Mee, 42.

Tambahnya, dia tidak mahu dikaitkan dengan ceti haram itu dan percaya ada pihak yang memberi alamat mereka di Batu Gajah, sehingga menyebabkan rumah mereka disimbah cat.

"Selain itu, mereka (ah long) juga meninggalkan nota bertulis: Amaran terakhir sebelum saya bakar rumah kamu," katanya.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah pada 3 Februari.

Katanya, adiknya turut mengadu ah long tersebut tetap menganggunya, meskipun dia menegaskan bahawa tiada sebarang wang yang dipinjamnya.

"Mereka terus berkeras untuk memaksanya membuat pembayaran walaupun hanya bertanya tentang pinjaman itu. Nombor yang mereka gunakan untuk menghubunginya didaftarkan di Singapura," katanya.

Ujarnya, dia turut bimbang akan keselamatan keluarganya, selain khuatir ah long berkenaan mengetahui alamat premis perniagaannya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awan dan Aduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, beliau telah merujuk perkara itu kepada pihak polis.

"Polis sedang menyiasat perkara itu.

"Saya sentiasa mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat pinjaman wang daripada ceti haram dan juga tidak mengklik mana-mana pautan yang memerlukan maklumat peribadi," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram