MCA nafi keluar surat tular senarai kawasan bertanding PRN Johor


  • Politik
  • Ahad, 06 Feb 2022

KA SIONG (kanan) menafikan MCA mengeluarkan surat yang tular di media sosial baru-baru ini. — The Star

MCA menafikan sekeras-kerasnya ada mengeluarkan surat yang tular tertulis senarai kawasan-kawasan parti itu bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Barisan Nasional (BN) sentiasa bermusyawarah dan segala keputusan dicapai secara konsensus bersama parti-parti komponen.

"Tular berhubung surat palsu yang menggunakan kepala surat MCA dan nama saya. Kepada mereka yang berniat jahat melakukan fitnah ini untuk memecah-belahkan Barisan Nasional, hentikanlah!,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Menurut surat tular yang meletakkan nama Ka Siong serta logo MCA sebagai kepala surat itu, parti berkenaan akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi MCA pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Surat itu menyenaraikan 17 daripada 56 DUN Johor yang didakwa bakal ditandingi oleh MCA antaranya Pemanis, Yong Peng, Senai, Tangkak dan Johor Jaya.

PRN Johor bakal diadakan susulan pembubaran DUN itu pada 22 Januari lalu lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada Rabu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MCA, wee ka siong, PRN johor, nafi