PRN Johor: Umno tak pilih kluster mahkamah — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 06 Feb 2022

JENIRI Amir berkata, Umno menyedari bahawa kluster mahkamah tidak boleh ditampilkan sebagai pemimpin utama. — The Star

UMNO memahami dan mengetahui strategi terbaik untuk berdepan dengan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Penganalisis politik itu berkata, Umno juga menyedari bahawa kluster mahkamah tidak boleh ditampilkan sebagai pemimpin utama, sebaliknya parti itu akan mengetengahkan pemimpin yang dilihat mempunyai integriti bersih dan tiada masalah dari segi salah guna kuasa dan undang-undang.

Katanya, dengan kaedah itu sahaja parti itu dapat memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN), seterusnya dapat memerintah sama ada di Johor mahupun di peringkat nasional kelak.

"Saya percaya berdasarkan pengalaman pengundi, penduduk dan rakyat di Johor, mereka akan buat satu keputusan untuk menentukan sebuah parti politik atau gabungan yang pastinya BN akan diberi sokongan padu.

"Ini untuk pastikan wujudnya kestabilan politik kepada penduduknya, memungkinkan kerajaan baharu dapat tangani isu kesihatan dan ekonomi dengan lebih efektif lagi," katanya kepada Majoriti.

81527557830_DrJeniriAmir (1)

JENIRI Amir berkata, Muafakat Nasional tidak memberi manfaat kepada kedua-dua parti Umno dan PAS. —Astro Awani

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi amaran terhadap strategi politik mencetuskan PRN didalangi kluster mahkamah Umno.

Beliau turut menyelar strategi mencetuskan PRN, mengatakan ia adalah percubaan untuk mengelak daripada pertuduhan jenayah yang dihadapi sebahagian pemimpin Umno.

"Kita tahu yang buat strategi ini adalah kluster mahkamah, kluster yang kalah PRU14, kluster yang tidak ada jawatan, bukan semua dalam Umno," katanya.

Beliau menambah, yang didakwa belum lagi disabitkan kesalahan, oleh itu mereka sepatutnya mempertahankan diri di mahkamah.

Kluster mahkamah adalah istilah diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang kini berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika ini berdepan pelbagai pertuduhan membabitkan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Mengulas lanjut, Jeniri Amir mendakwa, Muafakat Nasional yang ditemeterai oleh Umno dan PAS pada 2019 bakal terkubur dan tiada masa depan kerana hubungan antara kedua-dua parti itu dilihat mempunyai masalah serta pertelagahan sejak awal lagi.

Dakwanya lagi, kerjasama itu juga tidak memberi sebarang manfaat kepada mana-mana pihak kerana Umno menganggap PAS telah mengkhianati mereka.

"Ini pasti lebih memberi kesan kepada hubungan dalam Muafakat Nasional.

"Lagipun Umno dan BN sudah ada keyakinan bahawa mereka dapat berdepan dengan PRU akan datang dan juga berlaku perubahan sentimen dalam kalangan rakyat sebagaimana yang terbukti pada PRN Melaka dan Sarawak," katanya.

Sebelum ini, BN memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka pada 20 November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram