Ungkapan 'wartawan cilik' perlekeh profesion kewartawanan


  • Massa
  • Ahad, 06 Feb 2022

KEWARTAWANAN adalah satu profesion yang mempunyai nilai dan ideologinya sendiri.

KECOH sejak beberapa minggu yang lalu berkenaan dengan seorang kanak-kanak, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, yang petah bercakap ketika merakam satu kejadian yang berlaku dikampungnya.

Kepetahan dan keberaniannya itu membuat liputan mendapat perhatian ramai sehinggakan stesen televisyen memberinya ruang untuk menonjolkan kebolehannya yang disifatkan umpama 'wartawan cilik'.

Namun, ada yang tidak senang dengan penggunaan ungkapan 'wartawan cilik' yang digunakan media bagi merujuk kepada kanak-kanak tersebut.

Pensyarah Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA),Prof Datuk Ahmad Murad Merican berkata, penggunaan ungkapan ‘wartawan cilik’ (merujuk kepada kanak-kanak itu) amat tidak tepat lalu memesongkan, merendahkan dan memperlekehkan profesion kewartawanan itu sendiri.

"Walaupun penggunaan seperti ini mungkin bersahaja dalam memaparkan satu slanga atau memaparkan kecilikan seorang kanak-kanak, ia tidak sepatutnya dipandang ringan. Yang dilakukan oleh budak tersebut ialah melaporkan sesuatu kejadian dengan meniru apa yang dilihatnya.

"Apa yang dilihatnya dari tugasan melaporkan berita di televisyen bukanlah dapat dipaparkan menggunakan istilah ‘kewartawanan.’ Apa yang dilihat dan dilakukanya ialah proses melaporkan berita atau pemberitaan dan petugas itu memenuhi fungsi sebagai pemberita.

"Pemberitaan adalah satu fungsi dalam profesion kewartawanan. Tugas dan fungsi editor dalam menulis lidah pengarang, komentar, pendapat, esei, penulisan rencana, pengurusan berita, penulisan kolum, semuanya adalah fungsi profesion kewartawanan.

"Pemberita, penerbit, editor berita, editor halaman lidah pengarang, Ketua editor, editor sukan, editor ekonomi, editor jenayah, editor sains - semua itu jawatan dalam organisasi media; semua itu merupakan ahli kepada profession kewartawanan, dan semua digelar wartawan.

"Bukan semua boleh jadi wartawan. Editor dan wartawan (jika mereka sedar akan istilah itu) mesti menganggap kewartawanan sebagai satu profesion dan institusi. Ia ada nilai dan ideologinya sendiri," katanya.

Terdahulu tular di media sosial mengenai perihal Haziq yang mengadakan liputan secara langsung penemuan ular sawa di dalam longkang di sebuah pasar di Bukit Selambau, Kedah.

Sebuah stesen televisyen kemudian memberi peluang kepada Haziq untuk membuat liputan di kawasan pasar berdekatan rumahnya sekali gus mempopularkan lagi nama kanak-kanak itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

massa, wartawan cilik, kedah, perlekeh, profesion