PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia pada Sabtu, selepas terperangkap selama lima hari dalam sebuah perigi kering di sebuah kampung di utara Maghribi.
Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook beliau berkata, Keluarga Malaysia turut mengucapkan takziah kepada keluarga Rayan Oram.
"Semoga roh Allahyarham Rayan tenang di sana. Anak syurga milik ALLAH SWT,” katanya dalam catatan tersebut, pada Ahad.
Rayan terjatuh dan terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter pada Selasa di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan bukit dekat Chefchaouen dan usaha menyelamatkannya dijalankan sejak itu.
Lewat malam Sabtu, Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan telah menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas dia berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram