KEJADIAN takungan air di bahagian penghujung jejantas Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus), dekat George Town selepas hujan lebat pada Sabtu disebabkan sampah sarap dan daun kering menghalang laluan air.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya telah menjalankan kerja-kerja pembersihan segera dan laluan tersebut kembali sempurna serta selamat digunakan oleh pengguna jalan raya.
"Berdasarkan pemeriksaan MBPP takungan air itu adalah disebabkan berlakunya hujan lebat di kawasan tersebut dan siasatan mendapati terdapat daun-daun kering serta sampah sarap yang telah menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan itu.
Sehubungan itu MBPP berharap orang ramai dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.
Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia itu ditakungi air selepas hujan lebat dalam kejadian pada petang Sabtu.
Video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman ramai malah ada yang melahirkan kekecewaan apabila projek itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram