SEORANG lelaki warga tempatan yang terlibat dalam pergaduhan kononnya disebabkan berang ditegur tidak memakai pelitup muka, telah ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Yahaya Hassan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan mengenai kejadian tersebut pada Jumaat.
Kes tersebut kini disiasat di bawah seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan khianat.
"Tindakan siasatan pihak polis telah menghasilkan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan yang mana merupakan individu yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
"Pihak polis juga telah memperolehi perintah reman ke atas suspek selama empat hari dari 5 Februari hingga 8 Februari untuk membantu siasatan lanjut," katanya.
Selain itu, polis turut menerima laporan daripada keluarga suspek pada 5 Februari mengenai tindakan orang ramai memukul suspek.
"Siasatan pihak polis masih dijalankan dengan merangkumi semua aspek mengenai kejadian ini.
"Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak melangkaui undang-undang atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa jua keadaan dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video-video tersebut yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan mengenai kejadian pergaduhan yang didakwa berlaku di sebuah kedai di Bercham, Ipoh.
Dalam video pertama, kelihatan seorang lelaki memakai baju berwarna biru serta berseluar pendek berjalan sambil memegang sebatang kayu.
Turut kedengaran adalah bunyi seperti kaca sedang dipecahkan.
Dalam sebuah video lagi sepanjang 50 saat yang tular itu, kelihatan sekumpulan individu membelasah seorang lelaki dipercayai suspek yang melakukan kekecohan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram