SEORANG lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan PJU 1A/4A, Ara Damansara di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.47 pagi itu, mangsa seorang lelaki tempatan cuba mengelak sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U di hadapan Pacific Place, Petaling Jaya.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang menuju ke Lembah Sunang telah mengelak kereta jenis Proton Wira Aeroback yang datang dari arah kiri di laluan sama untuk membuat pusingan U.
"Mangsa terbabas dan terlanggar pembahagi jalan menyebabkannya jatuh di atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Fakhrudin menyeru saksi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 01132311232 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram