Isu vaksin: Khairy fail saman fitnah terhadap Lokman Adam, Ustaz Abu Syafiq


KHAIRY memfailkan saman fitnah Lokman Noor Adam dan Ustaz Abu Syafiq, berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial. — Bernama

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Lokman Noor Adam dan Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial.

Khairy, 46, selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Tetuan Rashid Zulkifli pada 25 Januari lepas, dengan menamakan Lokman, 49, dan Mohd Rasyiq, 41, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu, atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Khairy mendakwa, Mohd Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lepas, 6 dan 10 Januari lalu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai, dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya, sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Plaintif juga mendakwa, penerbitan fitnah itu adalah bertentangan dengan kepentingan awam dan ia mengganggu usaha serta semua yang terbabit dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan dalam perjuangan menentang Covid-19, menjejaskan tindak balas masyarakat terhadap pandemik dan menjejaskan data serta fakta rasmi yang diberikan oleh KKM kepada orang ramai.

Oleh itu, plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya kedua-dua defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam dan suatu injunksi menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Plaintif juga memohon defendan-defendan untuk memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita serta akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Plaintif juga menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk, faedah, permohonan maaf daripada defendan-defendan yang dimuat naik di media sosial serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, mahkamah menetapkan 17 Februari ini untuk pendengaran injunksi inter parte (dua pihak). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram