Tular video 'booster' tidak digalak untuk individu sihat, ini jawapan KKM


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jan 2022

VAKSINASI dos penggalak dibuka kepada populasi awam yang layak selepas golongan rentan menerima suntikan itu. — Gambar hiasan/ The Star

PEMBERIAN dos penggalak Covid-19 dilaksanakan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin serta cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian-varian baharu virus itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi dos pertama dan kedua yang dilaksanakan pada 20 September 2021 dengan kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6 peratus, masih belum mencapai sasaran 90 peratus.

Menurut KKM, pada masa itu pergerakan rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga dikawal ketat, selain pemberian dos penggalak secara menyeluruh belum lagi bermula pada September 2021.

KENYATAAN KKM bagi memperjelas video tular berhubung pemberian dos penggalak. — Facebook

"Pemberian dos penggalak dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan pada ketika itu kepada golongan rentan terdiri daripada warga emas, mereka yang ada komorbiditi dan golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan.

"Hanya setelah majoriti golongan tersebut telah menerima booster (dos penggalak), barulah vaksinasi booster dibuka kepada populasi awam yang layak," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook KKM, malam Sabtu.

Kenyataan itu bagi mengulas satu video sidang media Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas beliau meninjau perkhidmatan saringan Covid-19 di KLIA pada 20 September 2021 berhubung dos ketiga vaksin Covid-19 yang tular di media sosial.

Khairy dalam sidang media tersebut berkata, dos penggalak ketika itu perlu diberi kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas, mempunyai komorbiditi atau immunocompromised, manakala tidak digalakkan kepada individu yang sihat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram