Jangkitan terus melonjak, negara rekod 5,736 kes Covid-19


  • Primer
  • Rabu, 02 Feb 2022

SEBANYAK 5,736 kes direkodkan negara pada Rabu. — Gambar hiasan/Agensi

MALAYSIA merekodkan 5,736 kes jangkitan baharu Covid-19 pada Rabu, mencatatkan kenaikan berbanding 5,566 kes pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka semasa itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia bertambah kepada 2,882,060 kes sejak wabak itu bermula.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 46 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya berjumlah 5,690 adalah kategori satu dan dua.

"Daripada 5,736 kes itu, sebanyak 183 adalah kes import dengan 81 daripadanya adalah warganegara manakala baki 102 merupakan kes membabitkan warga asing.

"Kes tempatan pula berjumlah 5,553 dengan 112 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 54 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 3,196 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,790,386 orang.

Selain itu, Noor Hisham berkata, lapan kluster baharu direkodkan dengan 322 kluster masih aktif setakat ini.

Menerusi ciapan di Twitter pada Rabu juga, beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 1 Februari 2022 untuk seluruh negara adalah 1.15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram