Bank Malaysia bersedia tangani isu Genting HK — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 28 Jan 2022

BANK di Malaysia mempunyai tahap kecairan dan modal yang kukuh sejak krisis kewangan Asia pada 1997. — Gambar hiasan/The Star

PENGGULUNGAN Genting Hong Kong (HK) Limited tidak memberikan impak ketara kepada prestasi kewangan bank tempatan seperti yang didakwa sesetengah pihak di media sosial.

Tiga bank yang dinyatakan adalah bank CIMB, RHB dan Maybank.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, orang ramai tidak perlu bimbang akan perkara tersebut.

Katanya, meskipun situasi itu (penggulungan syarikat) memberi impak kepada bank, beliau berpendapat berpendapat impak kepada prestasi kewangan semua bank terlibat agak minima.

"Penggulungan syarikat Genting HK akan memberi impak negatif kepada tiga bank ini namun impaknya tidak ketara kerana ada kemungkinan bank-bank tersebut masih lagi boleh mendapatkan sebahagian daripada wang yang terhutang melalui penjualan aset syarikat yang muflis itu.

"Saya berpendapat impak kepada prestasi kewangan mereka agak minima, sebagai contoh, jumlah untung sebelum cukai bagi ketiga-tiga bank ini pada tahun 2021 adalah RM12.8 billion dan disebabkan itu saya melihat mereka (bank) masih lagi mampu menangani krisis yang dialami oleh Genting HK," katanya kepada Majoriti.

Mengulas tentang dakwaan masalah kewangan itu berlaku susulan Genting HK ada membuat pinjaman berskala besar dengan ketiga-tiga bank berkenaan, Ahmed Razman menjelaskan bahawa perkara itu tidak berasas.

Beliau yang juga merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, dalam urusan pinjaman kewangan yang dilaksanakan bank, beliau percaya pihak pengurusan sudah melakukan kajian risiko terlebih dahulu.

"Bank-bank tersebut semestinya sudah melakukan ‘due diligence’ ke atas risiko pinjaman tersebut dan pandemik Covid-19 merupakan peristiwa ‘Black Swan’ yang tidak dijangka.

"Walaupun ia boleh memberi impak negatif, secara amnya, bank-bank di Malaysia mempunyai tahap kecairan dan modal yang kukuh sejak krisis kewangan Asia pada 1997 dan ini terbukti apabila sembilan bank komersial tempatan sentiasa mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM35 billion setiap tahun dan masih mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM26 billion semasa pandemik (tahun 2020)," ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila Genting HK dilaporkan memfailkan penggulungan dan tindakan itu didakwa bakal memberi impak kepada tiga bank tempatan yang memberikan pinjaman perniagaan berskala besar kepada syarikat itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

cimb, rhb, maybank, genting HK, bankrupt, kewangan