Rampasan dadah seluruh negara meningkat dua kali ganda


  • 112
  • Isnin, 31 Jan 2022

SEBANYAK 27,959 kg dadah bernilai RM951.69 juta dirampas pihak berkuasa pada 2021. — Gambar hiasan/ Agensi

SEBANYAK 27,959 kilogram (kg) dadah bernilai RM951.69 juta dirampas pihak berkuasa pada 2021 di seluruh negara dengan peningkatan sebanyak 103 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa pada 2020 sebanyak 13,317kg dadah bernilai RM403 juta dirampas.

Menurut kementerian itu, rampasan dadah meningkat meskipun langkah sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19 pada tahun lalu.

"Antara jenis dadah yang dirampas melibatkan syabu sebanyak 7,919kg, ephedrine (5,573kg) dan ganja (3,232kg),'' jelas kenyataan KDN pada Isnin.

Pada tahun lalu, pihak berkuasa telah memberkas seramai 119,218 individu dan mereka dikenakan hukuman di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seramai 5,200 orang termasuk 76 remaja disyaki penagih dan tokan dadah ditahan dalam Op Tapis Khas di seluruh negara sejak dari Jumaat hingga Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi bermula dari 21 hingga 23 Januari itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 212.6kg dan 1,199.2 liter yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

Seramai 4,987 lelaki dan 213 wanita ditahan termasuk dua remaja berusia 13 tahun dan 74 orang lagi berusia 14 hingga 18 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rampasan, dadah, KDN, Ayob Khan,