Tiga hari berturut-turut kes lebih 5,000, catat 5,139 pada Sabtu


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jan 2022

SEBANYAK 5,139 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan pada Sabtu. — The Star

MALAYSIA merekodkan 5,139 kes jangkitan baharu Covid-19 pada Sabtu, mencatatkan sedikit penurunan berbanding 5,522 kes pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka semasa itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia bertambah kepada 2,861,069 kes sejak wabak itu bermula.

Beliau berkata, sebanyak 99 peratus atau 5,089 kes daripada 5,139 kes yang dilaporkan terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala satu peratus atau 50 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

"Daripada 5,139 kes, sebanyak 226 adalah kes import dan 4,913 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 119 kes dan 69 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Malaysia terus merekodkan trend peningkatan kes baharu Covid-19 dan kembali mencatatkan angka melepasi 5,000 pada Khamis (27 Januari iaitu 5,439, selepas kali terakhir pada 10 Disember.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 3,767 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,777,715 orang.

Katanya, sebanyak lima kluster baharu direkodkan dengan 291 kluster masih aktif setakat ini, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara berada pada paras 1.15.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram