Kerajaan usaha realisasi guru Kafa diserap jawatan tetap — Idris


  • Primer
  • Jumaat, 28 Jan 2022

IDRIS mengingatkan agar semua guru Kafa termasuk imam di negeri Sabah menjaga akhlak dan menjadi contoh kepada masyarakat.

RANCANGAN khidmat guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) diserap ke jawatan tetap atau melalui kontrak perkhidmatan (COS) sedang diusahakan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan termasuk menyelaraskan masa kerja guru Kafa di seluruh negara.

"Kita sudah bincang terutama syarat-syarat, dengan pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkenaan agar guru KAFA ini dapat dibantu ditetapkan dalam perkhidmatan mereka ataupun COS peringkat awal dulu.

"Masalah ada negeri yang melaksanakan Kafa ini tiga hari seminggu sahaja, ada negeri pula lima hari," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama guru Kafa, takmir dan imam di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat.

Dalam pada itu, Idris mengingatkan agar semua guru Kafa termasuk imam di negeri Sabah menjaga akhlak dan menjadi contoh kepada masyarakat.

Selain itu katanya, pada tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM1.5 bilion berkaitan hal ehwal Islam dengan RM140 juta untuk pendidikan, manakala RM58 juta disalurkan untuk pembangunan agama di Sabah.

Sementara itu, Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu Sabah menerima peruntukan RM58 juta daripada kerajaan persekutuan bagi elaun imam, guru takmir, guru Kafa, termasuk penyelia masjid. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

guru kafa, tetap, cos, idris ahmad, pendidikan