KPDNHEP tumpas cubaan seleweng 2,800 liter diesel bersubsidi di Pulau Pinang


  • 112
  • Khamis, 27 Jan 2022

ANTARA lori tangki yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng diesel bersubsidi di Pulau Pinang. — Facebook KPDNHEP Pulau Pinang

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng diesel bersubsidi selepas merampas 2,800 liter minyak diesel bernilai RM6,582.85 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya menjalankan risikan sejak sebulan lepas sebelum menyerbu stesen minyak itu pada 6.30 pagi susulan aduan daripada orang awam, berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel.

"Semasa serbuan dijalankan didapati sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak itu dengan minyak diesel turut dipam masuk ke dalam tangki lori.

"Pemilik lori itu dipercayai telah mengubah suai bahagian tangki minyak dengan menyediakan satu mesin khas untuk mengepam minyak di bahagian tangki terus masuk ke tangki supaya diesel bersubsidi tersebut boleh dibeli dalam kuantiti yang banyak," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, pemeriksaan pada resit belian mendapati lori berkenaan membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM6,582.85 dalam masa lebih kurang 40 minit sedangkan setiap lori selalunya hanya mampu mengisi 100 hingga 200 liter diesel sahaja.

Ujarnya lagi, pemandu lori yang berusia 30-an berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi.

"Selain menyita 2,800 liter minyak diesel, kami turut merampas lori tangki dan dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram