KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS


  • Primer
  • Jumaat, 28 Jan 2022

RADZI memaklumkan telah menerima kunjungan Ahmad Faizal bagi membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan melibatkan murid serta guru di bawah KPM.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited melakukan terbaik bagi merealisasikan pelbagai pendekatan strategik yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha melahirkan golongan belia cemerlang termasuk memajukan sukan negara.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan telah menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan melibatkan murid serta guru di bawah KPM.

"Dalam pertemuan tadi, kami bincangkan tentang usaha dan pendekatan untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan murid dan juga kaedah mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan KPM dan KBS.

"Selain itu, pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan KPM-KBS. Kini, Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) KPM-KBS antara yang sedang diusahakan," kata Radzi menerusi hantaran itu, pada Jumaat.

Beliau berkata, aspek pembangunan belia perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa.

"Semoga usaha KPM-KBS melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia yang cemerlang serta memajukan sukan dapat direalisasikan sepertimana dirancang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPM, KBS, radzi jidin, belia, sukan