
GOLONGAN guru di negara ini diminta tidak menggunakan jawatan dalam parti politik sebagai saluran untuk mendapatkan habuan diri seperti jawatan-jawatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya tidak mahu guru-guru yang memegang jawatan dalam parti politik terlalu memfokuskan kepada politik sehingga mengabaikan tugas sebenar.
"Dalam era sekarang, kita perlu menerima keputusan ini dengan matang.
"Apa yang paling penting, guru-guru ini jangan berpolitik sehingga mengabaikan tugas sebenar.
"Kita juga amat mengharapkan supaya guru-guru yang mendapat kebenaran ini tidak menjadikan jawatan dalam parti politik sebagai saluran mendapatkan habuan diri seperti jawatan," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan kesemua guru sekolah untuk berpolitik.
Kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya mahu agar perjalanan politik negara akan menjadi lebih matang dan teratur susulan kebenaran terbaharu itu.
"NUTP menyambut baik kebenaran tersebut jika benar seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sebagai menghormati prinsip demokrasi.
"Dengan adanya ramai guru dalam dunia politik tanah air seperti apa yang telah berlaku pada tahun 50-an dan 60-an bila mana peranan guru menjadi amat penting dalam menentukan hala tuju politik negara ke arah kesejahteraan dan keharmonian negara.
"Untuk itu, biarlah aktiviti berpolitik ini dibuat secara matang dan beretika," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram