Tun M berselera makan, sempat berseloroh dengan keluarga — Marina


  • Primer
  • Selasa, 25 Jan 2022

MAHATHIR turut meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya. — The Star

KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan semakin baik dan menunjukkan peningkatan.

Perkara itu dikongsi oleh anak beliau, Marina Mahathir menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, selera makan bapanya juga bertambah baik dan beliau juga sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang ada bersamanya di Institut Jantung Negara (IJN).

"Mahathir juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan oleh orang ramai dan pemimpin-pemimpin asing.

"Beliau dan keluarga berasa terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan kesembuhannya," katanya.

Katanya lagi, Mahathir turut meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya.

Jelasnya, Mahathir juga akan terus mendapatkan rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan.

"Buat masa ini pihak IJN masih tidak membenarkan kehadiran pelawat selain daripada ahli keluarga terdekat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Marina, Mahathir, IJN, kesihatan, bertambah baik