Kes tetak dua beranak di PD, dua lagi diburu


  • 112
  • Selasa, 25 Jan 2022

KES disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

POLIS sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dua beranak menggunakan parang di Taman Jimah Jaya Site C, Chuah, Port Dickson, Seremban, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, individu berkenaan ialah V Vithyathran, 32, yang beralamat di Taman Springhill, Rantau dan B Selvam, 21, dari Taman Jaya Lukut, Port Dickson.

Beliau berkata, polis menahan enam lelaki dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun antara pukul 4.40 pagi 16 Januari hingga 9.30 malam 18 Januari lalu di sekitar Lukut dan Port Dickson yang disyaki turut terlibat dengan kes itu dan merampas dua motosikal dan sebilah parang yang disyaki digunakan untuk mencederakan mangsa.

"Semakan rekod lampau dapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang positif ganja dan ketika kejadian mereka berada dalam keadaan pengaruh alkohol.

Kesemua mereka direman selama lapan hari sehingga semalam. Arahan pertuduhan juga dikeluarkan terhadap dua daripada mereka dan seorang masih bebas manakala empat yang lain dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.43 pagi pada 16 Januari lalu, seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya, 16, dilaporkan cedera parah di bahagian badan dan tangan akibat diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.

Aidi Sham berkata, mereka juga merosakkan kenderaan milik keluarga mangsa dengan memecahkan cermin kereta dan tingkap sebelum melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram