Kerajaan pertimbang longgar SOP pelancong antarabangsa


  • Primer
  • Selasa, 25 Jan 2022

SEMPADAN negara masih ditutup sejak Mac 2020 berikutan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19. — AZHAR MAHFOF/The Star

PANDANGAN Kementerian Kesihatan (KKM) akan diminta bagi melihat kemungkinan melonggarkan SOP untuk membolehkan sempadan negara dibuka kepada pelancong antarabangsa, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sempadan negara masih ditutup sejak Mac 2020 berikutan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19.

“Kita telah melihat negara-negara lain melonggarkan SOP mereka untuk pelancong antarabangsa. Mungkin ini boleh dipertimbangkan untuk Malaysia.

“Jika dua dos vaksin dan suntikan penggalak sudah selesai, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk melonggarkan sedikit SOP.

“Tetapi semua ini bergantung kepada pandangan daripada KKM,” katanya pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu berhati-hati sebelum membuka semula sempadannya, kerana kes Covid-19 di negara lain masih tinggi.

Ismail mengakui, polisi ketat yang dilakukan kerajaan memberi kesan kepada banyak sektor, termasuk industri pelancongan yang bergantung kepada pelancong domestik untuk memulihkan perniagaan mereka.

“Jadi, jika lebih ramai orang menerima dos penggalak, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk melonggarkan SOP.

"Jika kita boleh membuka sempadan, ekonomi akan bertambah baik, Tetapi seperti yang saya nyatakan, ini bergantung kepada pandangan KKM," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram