Lebuhraya Pantai-Temiang jadi lokasi 'photoshoot' geng Honda Civic


  • Tular
  • Ahad, 23 Jan 2022

KERETA Honda Civic milik geng konvoi yang diparkir sepanjang lorong kecemasan di Lebuhraya Pantai-Temiang. — Facebook

SEKUMPULAN geng konvoi Honda Civic menjadi tumpuan serta menerima kritikan umum selepas tindakan mereka meletakkan kereta masing-masing di laluan kecemasan untuk bergambar kini tular di media sosial.

Gambar yang tular pada Ahad menunjukkan kumpulan konvoi itu singgah berhenti di Lebuhraya Temiang-Pantai, Negeri Sembilan untuk mengambil gambar sebagai kenangan.

Tindakan kumpulan konvoi yang dinamakan FFCM- FC Club Malaysia itu menerima kecaman hebat warganet setelah menyiarkan gambar konvoi tersebut di laman Facebook mereka.

Rata-rata warganet berpendapat bahawa tindakan mereka yang meletakkan kenderaan di sepanjang lorong kecemasan itu boleh membahayakan nyawa di samping menyusahkan pelbagai pihak.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Farid berkata, lorong kecemasan bukan tempat untuk menggunakan aplikasi TikTok dan bersantai, malah kemalangan juga boleh berlaku sekiranya ada lori dengan brek yang rosak lalu di kawasan itu.

"Lorong kecemasan bukan tempat korang nak berTikTok lepak santai, kalau lah ada lori yang rosak brek lalu, tidak kah bersepai semua sekali," katanya.

Pengguna Facebook, Muzafar Hadi pula berkata, lokasi itu bukan tempat parkir tetapi adalah lorong kecemasan sambil menyoal sama ada kumpulan itu sedang berada dalam kecemasan.

"Situ bukan tempat parking, tu lorong kecemasan, korang dalam kecemasan ke?," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook menggunakan nama Mohd Hilmi berkata, kumpulan itu sesuka hati berhenti di lorong kecemasan ambil gambar.

"Kereta mahal tapi pemandu b****", tambahnya.

Dalam pada itu, ada juga beberapa warganet yang mempertahankan tindakan geng konvoi terbabit apabila mendakwa lebuh raya itu kurang sesak dan jarang dilalui pengguna jalan raya.

Lebuhraya Temiang-Pantai yang mula dibuka pada 26 Ogos 2021 sering menjadi tumpuan orang ramai kerana landskap serta pemandangannya yang cantik seolah-olah seperti jalan raya di luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram