Periksa mesin pengimbas suhu badan secara berkala, pihak berwajib digesa ‘turun padang’


  • Massa
  • Rabu, 12 Jan 2022

MURID sekolah diambil rekod suhu badannya sebelum memasuki sekolah di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini. — Bernama

PIHAK berkuasa perlu turun padang secara berkala setiap bulan bagi memantau pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 supaya berjalan dengan lebih lancar.

Menurut sumber kesihatan dihubungi Majoriti, isu berkaitan pematuhan SOP seperti mesin pengimbas suhu badan yang rosak, buku rekod kehadiran pengunjung di semua premis dan semakan status yang tidak dilakukan wajar diambil tindakan.

"Bagi pembelian mesin yang rosak, saya kurang bersetuju sekiranya kerajaan memberikan subsidi kepada pengusaha premis.

"Kita perlu menjauhkan amalan (pemberian subsidi) agar masyarakat Malaysia lebih berdikari. Mesin tersebut tidak mahal kerana sudah ada banyak di pasaran," katanya.

Pada Selasa, Majoriti melaporkan warganet mendesak agar langkah pemeriksaan suhu di tempat awam dihentikan kerana disifatkan membuang masa dan sumber.

Mengulas lanjut perkara itu, sumber berkenaan berkata, pemeriksaan suhu dilakukan bagi memberikan maklumat awal seseorang pengunjung premis tersebut sama ada sihat atau tidak.

"Banyak mesin pengimbas suhu badan yang digunakan menghasilkan mesin penggera apabila individu itu mengimbas suhu badan.

"Bunyi penggera ini akan didengari ramai serta pemilik premis boleh bertindak menghalang individu yang didapati tidak sihat untuk memasuki lokasi berkenaan.

"Selain itu, mesin tersebut juga mewujudkan suatu bentuk pengawasan bersama-sama orang awam, pemilik premis dan pihak berkuasa yang membuat rondaan," ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Ahad memaklumkan Malaysia tidak mampu untuk melaksanakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 berikutan kekangan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Beliau sebaliknya berkata, kerajaan akan melaksanakan strategi mitigasi bagi menyekat penularan wabak berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram